Monday, October 24, 2011

Hubaya Hubaya!!!! Kita Di Zaman Khutabaul Fitnah!


Duhai ummat Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم


Hubaya! Hubaya!

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah mengambarkan suasana-suasana akhir zaman yang akan dilalui oleh umat Islam. Gunanya agar umat Islam berwaspada dengan suasana ataupun keadaan itu. Suasana ini adalah sebagai tanda betapa hampirnya dunia ini dengan saat kehancurannya. Terlalu hampir. Ya, hampir. Biasanya suasana atau tanda juga alamat ini menggambarkan kejadian atau peristiwa yang berlaku menentang arus dan tidak berlaku di zaman sebelumnya. Maknanya ia tidak sepatutnya berlaku, tetapi ia berlaku juga, untuk melengkapi proses berlakunya kiamat.



Apa pun sebagai mukmin, kita sebolehnya jangan menjadi pelakon kepada suasana itu, sebaliknya berusaha untuk tidak terlibat, walaupun orang disekeiling kita terlibat. Yang kita maksudkan ialah suasana-suasana yang melibatkan amalan atau perbuatan, ada pun suasana-suasana yang berlaku dan berubah, ianya akan tetap kita lalui seperti kepantasan bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Ianya juga salah satu alamat kiamat, namun itu adalah perubahan yang harus berlaku dan ia bukan berbentuk amalan dan perbuatan. Memang suasana-suasana itu telah pun terjadi, sedang berlaku dan akan terjadi. Tinggal lagi samada kita menyedarinya atau pun tidak.



Antara keadaan yang telah dan sedang berlaku ialah kemunculan para khutabaul juhalaa. Ini dinyatakan dalam sebuah hadis yang disebut oleh Imam Ghazali dalam Ihya dalam Bab kelebihan Ilmu dan Ulama yang bermaksud:


”kamu (para sahabat) berada di zaman ramainya para ulama, sedikit para khutaba. Ramai yang memberi sedikit yang meminta. Dan (pada saat ini) memperbanyakan amalan adalah lebih utama daripada memperbanyakkan ilmu. Lagi akan datang, para ulama akan berkurangan, khutaba (pennceramah) pula akan bertambah banyak. Ramai peminta tapi sedikit yang memberi. Pada masa itu illmu lebih utama dari beramal.


Apa yang ingin diketengahkan di sini ialah kebenaran sabdaan Rasulillah 
صلى الله عليه وآله وسلم tentang kemunculan para khutaba (penceramah) yang begitu melambak sekarang ini. Sehingga masyarakat menjadi keliru entah ’pendapat’ yang mana satu harus diikuti. Masing-masing berceramah berulamkan ayat-ayat Al Quran dan Hadis. Sedang nak jadi penceramah bukannya memerlukan ilmu yang tinggi. Cukup dengan menghafaz beberapa potong ayat Al Quran atau hadis dan pandai mengolah isi dengan menggunakan logik akal dan disesuaikan dengan isu semasa. Apa lagi si penceramah itu belajar pula comunication skills atau ilmu pidato. Terlopong si pendengar mendegar ceramah hebat yang diselang seli dengan gaya ucapan dan gerak badan yang penuh bersemangat!



Tanpa berbekalkan ilmu yang melengkapi sendi agama dan tanpa ilmu mantap bersanad, para khutaba akan bercakap dan bercakap sesuka hati sehingga mentafsirkan ayat-ayat al Quran berdasarkan pendapat akal semata-mata tanpa merujuk Kitab (ulama) mufassirin. Maka benar sekali bila Rasululllah 
صلى الله عليه وآله وسلم mengartakan bahawa pada masa itu ilmu lebih utama dari beramal. Ini kerana, tanpa ilmu, pendengar ceramah akan mudah terpengaruh dengan ceramah yang disampaikan walaupun ceramah itu menyeleweng dan penuh umpat keji serta maki hamun, istimewa pula ceramah politik.



Ahli Ibadat yang Jahil dan Ulama yang Fasiq
Ertinya:
Daripada Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq".



Keterangan


Nabi صلى الله عليه وآله وسلم . menerangkan di akhir zaman nanti akan ada dua golongan ini. Ada orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang aIim yang fasiq. Sebenarnya syaitan telah berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia. OIeh kerana itu ia menggunakan beberapa cara yang berlainan kepada orangorang yang berlainan pula. Bagi sijahil, syaitan selalu menyuruhnya supaya rajin berbuat ibadat, kerana ibadat orang yang jahil itu tidak sah dan tidak diterima di sisi ALLAH سبحانه وتعالى . Syaitan tidak mahu orang jahil itu rajin mengaji kerana bila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadatnya, maka ibadat tersebut akan diterima oleh ALLAH سبحانه وتعالى yang bererti kekalahan di pihak syaitan.


Begitu pula halnya dengan si Alim yang sudah banyak ilmunya. Syaitan akan menyuruhnya malas beribadat dengan mengemukakan bermacam-macam alasan, sehingga Si Alim ini meninggalkan kefardhuannya. Maka dengan itu ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah, bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari qiamat nanti. Maka itu lah kejayaan syaitan dalam usahanya.


Gejala yang sebegini rupa dapat dilihat di dalam masyarakat kita, di mana yang rajin beribadat ini adalah orang yang jahil dan yang mengabaikan hal-hal ibadat ini pula adalah terdiri daripada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan.
[Hadith Riwayat Ibnu Ady]
[Kitab 40 Hadith Akhir Zaman-Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Maliki An-Nadwi]



Jadi ilmu yang benar sahajalah yang akan menapis ucapan-ucapan yang meyeleweng dari kehendak ALLAH 
سبحانه وتعالى dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Tanpa asas ilmu yang kukuh dan mantap, si pendengar akan hanyut sesat bersama sesatnya fatwa yang dikeluarkan oleh penceramah. Pernah Khaifah Ali Karamallahu Wajhah menghalau pengajar yang tidak layak menyampaikan ilmu setelah dicuba tahap kefahaman si pengajar itu sendiri.


Itu di zaman Khaifah Ali Karramallahu Wajhah. Zaman kita...ramai yang bercakap Islam kerana kononnya memperjuangkan Islam. Walhal ia sedikit pun tidak layak untuk bercakap tentang Islam. Tiada latar belakang ilmu Islam. Nahu Soraf langsung tidak tahu. Aqidah, Syariat, Tasawwuf langsung tiada ilmu. Tetapi hebat berceramah tentang Islam. Nama para ulama tak pernah disebut. Maknanya pendapatnya adalah berdasarkan kepada akal semata-mata. Bukannya merujuk kepada pandangan para ulama muktabar.


Hubaya! Hubaya! Duhai kaum Mislimin.


Awasi keadaan ini! Usah disesatkan oleh penceramah yang jahil. Khutabaul Fitnah. Apa lagi yang dicakapnya tidak sedikit pun diterjemahkan pada amalannya. Yakni, amalan agama tidak hidup dalam dirinya. Dek kerana petah bercakap, dia terpilih sebagai pimpinan. Ini hakikat yang berlaku. Perit ditelan, tetapi inilah kenyataan.

No comments:

Post a Comment