Tuesday, October 25, 2011

Daulah Islamiyyah Itu Bermula Pada Setiap Individu




Tuan Guru Sheikh Nuruddin al-Banjari al-Makki juga ada menjawab satu soalan yang dikemukakan oleh hadirin iaitu, 

"bagaimana kita mahu mewujudkan daulah Islamiyyah? bagaimana kita mahu mewujudkan hukum-hukum Islam di dalam pemerintahan"

jawab Tuan Guru Sheikh Nuruddin di Masjid As Salam Bukit Sentosa yang lalu,

"ingat balik pesanan al-Imam Hasan al-Banna, "bina Islam pada hati kamu, pada jiwa kamu, pada jasad kamu, maka Islam akan menerangi di sekitarnya"..

apabila seseorang itu memahami Islam, kemudian dia menikah, maka keluarganya pula memahami Islam..kemudian dia bermasyarakat, maka masyarakatnya faham Islam..

setelah faham Islam, maka soal aurat sudah terjaga, maksiat sudah tiada, segala kemungkaran tiada, maka ketika itu tidak ada hukum hudud pun tidak mengapa kerana masyarakat hidup benar-benar menghambakan diri kepada Allah..

Tuan Guru Sheikh Nuruddin menambah lagi, "ketika di zaman pemerintah Sayyidina Umar al-Khattab, ketika mana beliau menjadi hakim, ketika itu tidak ada sebarang kes yang berlaku, maka beliau meletakkan jawatan, hal ini menujukkan pembinaan Islam pada setiap tubuh manusia itu adalah lebih didahulukan dari segalanya"

maka, fahamilah kepada kita semua, negara Islam tidak akan tertubuh melainkan ia bermula dari setiap tubuh muslim itu..

maka, usahlah bertelagah tentang hal-hal yang membawa kepada kehancuran umat Islam, binalah tubuh kita dengan Islam, kemudian masyarakat kita..wallahua'lam...

Kenapa Wahabisme, Shiisme, Pluralisme, dll. Perlu Ditentang?





Kenapa Wahabisme, Shiisme, Pluralisme, dll. Perlu Ditentang?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian bagi Allah yang Menguasai seluruh alam. Maha Suci Allah daripada diserupakan dengan segala yang baru. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia serta para sahabat yang terpuji.

Saya teringat beberapa artikel yang pernah saya baca yang mengkritik perjuangan kelompok “Ahli Sunnah wal Jamaah” – khususnya perjuangan menentang “wahabi”, “syiah”, “pluralisme” dan sebagainya. Sememangnya masih ramai di kalangan umat Islam di negara ini yang tidak memahami akan sebab perjuangan kelompokAhli Sunnah wal Jamaah menentang golongan seperti Wahabi dan sebagainya. Malah, ada juga suara-suara yang mengkritik amalan label-melabel dengan nama-nama seperti “wahabi”, “syiah”, “pluralis agama” dan lain-lain; kelompok-kelompok yang dipakaikan dengan label itu menyatakan bahawa mereka ‘dituduh’. Kelompok yang dilabelkan dengan nama “wahabi” – sebagai contoh – tidak mengaku mereka daripada kalangan “wahabi”.

Dalam menilai situasi ini, satu perkara yang disepakati oleh para ‘ulama seluruh dunia adalah – bahawa kelompok yang sentiasa berada di atas kebenaran seperti yang dijamin di dalam hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah kelompok Ahli Sunnah wal Jamaah. Ahli Sunnah wal Jamaah merujuk kepada kelompok umat Islam yang sentiasa berpegang teguh dengan sunnah baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, dan sentiasa berada di dalam jamaah umat Islam yang majoriti. Dalam hal ini, Ahli Sunnah wal Jamaah bukanlah merujuk kepada mana-mana persatuan, atau organisasi, atau mazhab, atau tareqat secara khusus. Tetapi yang menjadi kayu ukur terpenting dalam mengukur sama ada layak atau tidak sesuatu kelompok itu tergolong dalam “keluarga” Ahli Sunnah wal Jamaah, adalah soal ‘aqidah. Hal ini demikian kerana Rasulullah telah menjamin semua yang beragama Islam dengan sebenarnya – yakni dengan ‘aqidah yang murni – adalah golongan yang selamat. Justeru, kelompok yang berpegang dan beri’tiqad dengan ‘aqidah yang menyeleweng yang tidak selari dengan ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah, bolehlah ditolak keluar daripada kelompok Ahli Sunnah wal Jamaah. Seterusnya, apabila kita membicarakan tentang soal ‘aqidah – yang mana asas-asas dalam hal ‘aqidah tidak ada ruang untuk khilaf – maka kita membicarakan tentang Allah dan Rasulullah.

Maka, dalam hal ini, saya ingin cuba menyenaraikan beberapa ciri-ciri pemikiran yang wujud pada hari ini – dan perkara-perkara inilah yang menjadi sebab kenapa para ‘ulama Ahli Sunnah wal Jamaah begitu giat menentang kelompok-kelompok yang pelbagai yang wujud di negara ini. Kita lupakan seketika label-label yang telah diberikan dan kita perhatikan ciri-ciri pemikiran yang menyeleweng – atau paling tidak sedikit menyimpang – daripada ‘aqidah Islam yang murni;

(1) Faham mujassimah – yakni fahaman yang menjisimkan Allah, menyatakan bahawa Allah itu mempunyai jisim. Apabila seseorang menyatakan bahawa Allah itu mempunyai jisim, maka orang itu sebenarnya telah memberikan sifat “beranggota” kepada Allah, kerana yang dikatakan jisim itu – menempati ruang, mempunyai had dan menghasilkan satu bentuk anggota. Walhal, Allah itu “tidak menyerupai segala sesuatu”. Haram bagi seseorang menyamakan Allah dengan makhluk-Nya. Justeru, tidak boleh beri’tiqad bahawa Allah itu mempunyai tangan – kerana tangan itu makhluk. Namun, ada kelompok yang beri’tiqad begitu – mentafsirkan (sebagai contoh) kalimah “yad” dalam al-Qur’an secara literal membawa maksud “tangan Allah” sedangkan haram memberikan anggota kepada Allah kerana anggota itu adalah makhluk.

(2) Menyerupakan Allah dengan makhluk dalam hal lain – contohnya dengan menyatakan bahawa Allah itu bertempat. Sebagai contoh, ada kelompok yang menyatakan bahawa Allah berada di langit. I’tiqad bahawa Allah berada di langit juga adalah salah, haram bagi sesiapa menyatakan bahawa Allah itu mempunyai tempat. Hal ini demikian kerana apabila diberikan tempat kepada Allah, maka itu bermaksud Allah itu mempunyai had. Kerana, jika Allah menempati langit, bermakna Allah tidak ada di bumi. Dan, kalaupun dikatakan Allah berada di langit dan di bumi sekaligus, tetap juga salah kerana tidak boleh memberikan tempat kepada Allah. Apabila seseorang menyatakan bahawa Allah itu berada di sesuatu tempat, maka itu membawa implikasi makna bahawa Allah tidak ada di tempat yang lain, justeru menggambarkan bahawa Allah itu ada had. Sedangkan Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa daripada mempunyai sebarang had dan batasan. Ayat-ayat al-Qur’an dan hadith yang merujuk ke langit sebagai tempat sumber turunnya Rahmat Allah, dan juga sebagai tempat kiblat bagi doa, adalah kerana langit tempat duduknya para malaikat. Para malaikat pula adalah tentera-tentera Allah – makhluk yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan Rahmat-Nya, dan juga ditugaskan oleh Allah untuk mencatat segala amal perbuatan hamba-Nya.

(3) Merendahkan martabat dan taraf Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam dengan menyamatarafkan baginda dengan manusia biasa. Ada bentuk pemikiran yang menyatakan bahawa Sayyiduna Muhammad tidak mempunyai apa-apa keistimewaan sebelum diturunkan wahyu pertama pada usia 40 tahun – malah menyatakan bahawa Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam sebelum diturunkan wahyu sama sahaja seperti “Muhammad-Muhammad yang lain”. Memang benar terdapat ayat al-Qur’an seperti di dalam surah al-Kahfi di mana Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman yang lebih kurang maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku ini adalah manusia seperti kamu...”. Namun, ayat al-Qur’an yang sering menjadi hujahan pihak yang merendah-rendahkan taraf Rasulullah itu tidak terhenti setakat itu, namun setakat itulah ayat al-Qur’an ini sering digunakan. Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman dalam ayat tersebut yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku ini adalah manusia seperti kamu, diturunkan wahyu kepadaku...”. Hakikat bahawa Rasulullah diturunkan wahyu kepada baginda adalah merupakan pembeza antara taraf baginda dan taraf manusia biasa. Justeru, adalah merupakan satu kebiadaban yang besar terhadap Rasulullah untuk menyamatarafkan baginda dengan manusia biasa kerana bukan sahaja taraf spiritual baginda yang tidak sama dengan manusia biasa, malah fizikal baginda juga tidak sama dengan manusia biasa. Cukuplah kita membaca kitab “Syamail an-Nabi” karangan Imam at-Tirmizi untuk kita memahami betapa luarbiasanya baginda.

(4) Antara bentuk pemikiran yang cukup biadab adalah menyatakan bahawa ibubapa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah kafir. Biarpun golongan ini menghadirkan beberapa hadith sebagai dokongan hujah mereka, namun para ulama yang benar-benar faham akan hakikat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallamtelah menghuraikan beberapa maksud terhadap hadith-hadith tersebut. Dalam masa yang sama, terdapat beberapa hadith yang turut menjelaskan tentang keislaman ibubapa Rasulullah seperti hadith yang menjelaskan tentang kesucian susur galur baginda. Paling mudah, kita selaku umat Sayyiduna Muhammadsallallahu ‘alayhi wasallam boleh memahami bahawa ibubapa baginda hidup sebagai ahli fatrah. Namun, cukup menyedihkan kerana masih ada di kalangan umat ini yang ‘tergamak’ untuk mengkafirkan ibubapa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

(5) Terdapat juga satu bentuk kecenderungan untuk menghukum haram perkara yang dihalalkan atau dibenarkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Contohnya, terdapat kelompok yang menghukum bid’ah (dholalah) amalan-amalan sunat seperti menziarahi kubur para nabi dan orang-orang yang mulia di sisi Allah. Sedangkan baginda Rasulullah sendiri menziarahi kuburan orang mulia, dan tidak melarang umat baginda untuk menziarahi kuburan orang-orang mulia.

(6) Bentuk pemikiran yang tidak betul juga adalah pemikiran yang mengkafirkan para sahabat Rasulullah, serta bentuk pemikiran yang mengkafirkan para ‘ulama dengan sewenang-wenangnya. Ada pemikiran yang mengkafirkan para sahabat, menuduh para sahabat merampas hak Sayyidina ‘Ali selaku khalifah serta ingkar terhadap arahan Rasulullah. Kelompok ini mungkin tidak memahami larangan baginda Rasulullah daripada mencela dan menghina para sahabat – apatah lagi mengkafirkan! Ada juga kelompok yang dengan mudahnya mengkafirkan para ulama kerana dikatakan melakukan amalan khurafat atau syirik. Seorang imam di Makkah, contohnya, seringkali menyebut kepada para tetamu Allah di sana akan kafirnya ulama yang melakukan atau menyambut Maulid Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam; walhal, Maulid Nabi adalah merupakan amalan terpuji yang disepakati oleh para ulama. Malah, ulama agung kontemporari, Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki al-Hasani telah memfatwakan hukum wajib ke atas perayaan Maulid Nabi, dengan mengambil kira keadaan semasa umat Islam.

(7) Ada juga aliran pemikiran yang menyamatarafkan para imam mereka dengan Nabi. Aliran pemikiran ini jelas menyeleweng kerana pertama, kenabian telah terhenti dengan Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam; dan kedua, kerana tidak ada sesiapa di kalangan manusia yang boleh menyamai atau melangkaui taraf para Nabi kerana para Nabi adalah mereka yang diturunkan kepada mereka wahyu oleh Allah.

(8) Satu lagi bentuk pemikiran yang tidak betul adalah pemikiran yang cenderung untuk menyamatarafkan semua agama. Bentuk pemikiran ini cuba meletakkan “kebenaran” itu berada pada semua agama, dan bahawa semua agama akhirnya membawa kepada “keselamatan”. Pemikiran seperti ini cukup berbahaya kerana beberapa sebab, antaranya; pertama, membuka ruang untuk seseorang itu keluar-masuk agama Islam dengan sewenang-wenangnya; kedua, bertentangan dengan deklarasi Allah di dalam al-Qur’an bahawa “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah itu hanyalah Islam.”; ketiga, menjejaskan ‘aqidah kerana asas ‘aqidah dalam Islam adalah kalimah tauhid “tiada tuhan melainkan Allah”, sedangkan agama-agama lain mempunyai kefahaman dan konsepsi yang berbeza tentang tuhan.

Itulah antara lain sedikit-sebanyak bentuk-bentuk pemikiran yang bercanggah dengan aqidah Islam, yang dapat saya senaraikan secara ringkas dan mudah. Penyelewengan-penyelewengan seperti inilah, dan juga banyak bentuk penyelewengan pemikiran yang lain, yang mendorong para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah untuk lantang mengkritik dan menentang golongan-golongan tertentu di negara ini. Untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas dan terperinci, serta untuk memastikan kita sentiasa berada di atas jalan kebenaran, rantaikanlah diri dengan para ulama Ahli Sunnah wal Jamaah!

Wallahu’alam.

Monday, October 24, 2011

Hubaya Hubaya!!!! Kita Di Zaman Khutabaul Fitnah!


Duhai ummat Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم


Hubaya! Hubaya!

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah mengambarkan suasana-suasana akhir zaman yang akan dilalui oleh umat Islam. Gunanya agar umat Islam berwaspada dengan suasana ataupun keadaan itu. Suasana ini adalah sebagai tanda betapa hampirnya dunia ini dengan saat kehancurannya. Terlalu hampir. Ya, hampir. Biasanya suasana atau tanda juga alamat ini menggambarkan kejadian atau peristiwa yang berlaku menentang arus dan tidak berlaku di zaman sebelumnya. Maknanya ia tidak sepatutnya berlaku, tetapi ia berlaku juga, untuk melengkapi proses berlakunya kiamat.



Apa pun sebagai mukmin, kita sebolehnya jangan menjadi pelakon kepada suasana itu, sebaliknya berusaha untuk tidak terlibat, walaupun orang disekeiling kita terlibat. Yang kita maksudkan ialah suasana-suasana yang melibatkan amalan atau perbuatan, ada pun suasana-suasana yang berlaku dan berubah, ianya akan tetap kita lalui seperti kepantasan bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Ianya juga salah satu alamat kiamat, namun itu adalah perubahan yang harus berlaku dan ia bukan berbentuk amalan dan perbuatan. Memang suasana-suasana itu telah pun terjadi, sedang berlaku dan akan terjadi. Tinggal lagi samada kita menyedarinya atau pun tidak.



Antara keadaan yang telah dan sedang berlaku ialah kemunculan para khutabaul juhalaa. Ini dinyatakan dalam sebuah hadis yang disebut oleh Imam Ghazali dalam Ihya dalam Bab kelebihan Ilmu dan Ulama yang bermaksud:


”kamu (para sahabat) berada di zaman ramainya para ulama, sedikit para khutaba. Ramai yang memberi sedikit yang meminta. Dan (pada saat ini) memperbanyakan amalan adalah lebih utama daripada memperbanyakkan ilmu. Lagi akan datang, para ulama akan berkurangan, khutaba (pennceramah) pula akan bertambah banyak. Ramai peminta tapi sedikit yang memberi. Pada masa itu illmu lebih utama dari beramal.


Apa yang ingin diketengahkan di sini ialah kebenaran sabdaan Rasulillah 
صلى الله عليه وآله وسلم tentang kemunculan para khutaba (penceramah) yang begitu melambak sekarang ini. Sehingga masyarakat menjadi keliru entah ’pendapat’ yang mana satu harus diikuti. Masing-masing berceramah berulamkan ayat-ayat Al Quran dan Hadis. Sedang nak jadi penceramah bukannya memerlukan ilmu yang tinggi. Cukup dengan menghafaz beberapa potong ayat Al Quran atau hadis dan pandai mengolah isi dengan menggunakan logik akal dan disesuaikan dengan isu semasa. Apa lagi si penceramah itu belajar pula comunication skills atau ilmu pidato. Terlopong si pendengar mendegar ceramah hebat yang diselang seli dengan gaya ucapan dan gerak badan yang penuh bersemangat!



Tanpa berbekalkan ilmu yang melengkapi sendi agama dan tanpa ilmu mantap bersanad, para khutaba akan bercakap dan bercakap sesuka hati sehingga mentafsirkan ayat-ayat al Quran berdasarkan pendapat akal semata-mata tanpa merujuk Kitab (ulama) mufassirin. Maka benar sekali bila Rasululllah 
صلى الله عليه وآله وسلم mengartakan bahawa pada masa itu ilmu lebih utama dari beramal. Ini kerana, tanpa ilmu, pendengar ceramah akan mudah terpengaruh dengan ceramah yang disampaikan walaupun ceramah itu menyeleweng dan penuh umpat keji serta maki hamun, istimewa pula ceramah politik.



Ahli Ibadat yang Jahil dan Ulama yang Fasiq
Ertinya:
Daripada Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq".



Keterangan


Nabi صلى الله عليه وآله وسلم . menerangkan di akhir zaman nanti akan ada dua golongan ini. Ada orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang aIim yang fasiq. Sebenarnya syaitan telah berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia. OIeh kerana itu ia menggunakan beberapa cara yang berlainan kepada orangorang yang berlainan pula. Bagi sijahil, syaitan selalu menyuruhnya supaya rajin berbuat ibadat, kerana ibadat orang yang jahil itu tidak sah dan tidak diterima di sisi ALLAH سبحانه وتعالى . Syaitan tidak mahu orang jahil itu rajin mengaji kerana bila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadatnya, maka ibadat tersebut akan diterima oleh ALLAH سبحانه وتعالى yang bererti kekalahan di pihak syaitan.


Begitu pula halnya dengan si Alim yang sudah banyak ilmunya. Syaitan akan menyuruhnya malas beribadat dengan mengemukakan bermacam-macam alasan, sehingga Si Alim ini meninggalkan kefardhuannya. Maka dengan itu ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah, bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari qiamat nanti. Maka itu lah kejayaan syaitan dalam usahanya.


Gejala yang sebegini rupa dapat dilihat di dalam masyarakat kita, di mana yang rajin beribadat ini adalah orang yang jahil dan yang mengabaikan hal-hal ibadat ini pula adalah terdiri daripada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan.
[Hadith Riwayat Ibnu Ady]
[Kitab 40 Hadith Akhir Zaman-Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Maliki An-Nadwi]



Jadi ilmu yang benar sahajalah yang akan menapis ucapan-ucapan yang meyeleweng dari kehendak ALLAH 
سبحانه وتعالى dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Tanpa asas ilmu yang kukuh dan mantap, si pendengar akan hanyut sesat bersama sesatnya fatwa yang dikeluarkan oleh penceramah. Pernah Khaifah Ali Karamallahu Wajhah menghalau pengajar yang tidak layak menyampaikan ilmu setelah dicuba tahap kefahaman si pengajar itu sendiri.


Itu di zaman Khaifah Ali Karramallahu Wajhah. Zaman kita...ramai yang bercakap Islam kerana kononnya memperjuangkan Islam. Walhal ia sedikit pun tidak layak untuk bercakap tentang Islam. Tiada latar belakang ilmu Islam. Nahu Soraf langsung tidak tahu. Aqidah, Syariat, Tasawwuf langsung tiada ilmu. Tetapi hebat berceramah tentang Islam. Nama para ulama tak pernah disebut. Maknanya pendapatnya adalah berdasarkan kepada akal semata-mata. Bukannya merujuk kepada pandangan para ulama muktabar.


Hubaya! Hubaya! Duhai kaum Mislimin.


Awasi keadaan ini! Usah disesatkan oleh penceramah yang jahil. Khutabaul Fitnah. Apa lagi yang dicakapnya tidak sedikit pun diterjemahkan pada amalannya. Yakni, amalan agama tidak hidup dalam dirinya. Dek kerana petah bercakap, dia terpilih sebagai pimpinan. Ini hakikat yang berlaku. Perit ditelan, tetapi inilah kenyataan.

Kunci Penghayatan Hidup Rabbani


Ramai manusia melihat kehidupan dari segenap sudutnya. Ada yang melihat kepayahan hidup lalu memahami kehidupan ini suatu tempat kedukaan. Ada yang melihat kesenangan duniawi lalu memahami kehidupan adalah tempat menikmatinya. Ini semua adalah nilai kehidupan dengan pandangan syahwat dan kepentingan. Untuk apa melihat hidup itu pada senang atau susahnya, sedangkan setelah susah hadirnya senang, dan setelah senang hadirnya susah. Begitulah silih berganti.
Malah, senang dunia tidak selamanya, begitu jua susahnya. Akhirnya sang insan yang sibuk dengan susah dan senangnya hidup di dunia, mati meninggalkan dunia. Itu semua hanyalah persepsi kebudak-budakan semata-mata yang mengingini khayalannya menjadi mimpi yang nyata.
Hidup ini adalah untuk kita hidup menghadapi realiti, bukan membina makna realiti sendiri. Hakikat hidup sudah ditentukan. Makna hidup sudah dijelaskan. Jika terus memilih selain makna dan hakikat hidup yang telah dijelaskan oleh Tuhan, maka kita hanya mencari kebahagiaan yang palsu. Semakin kita melangkah menuju kebahagiaan palsu, semakin kita menjauhi kebahagiaan hakiki. Semakin kita menuju “realiti” ciptaan sendiri, semakin kita memalingkan diri daripada hakikat sebenar hidup ini.
Begitulah insan yang sentiasa terkesan samada dalam kesenangan mahupun dalam kesusahan. Cahaya keimanan yang sepatutnya kita warisi daripada generasi Sahabat r.a. yang sentiasa tenang dalam susah dan senang, seakan-akan suatu fantasi semata.
Memang benar. Indah bicara dari menghadapinya. Namun, inilah realitinya. Bagaimana Saidina Bilal r.a. mampu memikul batu berat di bawah terik mentari hanya dengan menyebut ahad…ahad. Kita, dengan sembilan puluh sembilan nama Allah telah dihafal, namun belum tentusanggup memikul dukaan kerana Tuhan. Jauh benar penghayatan aqidah kita berbanding penghayatan aqidah mereka yang dididik oleh Saidina Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-.
Nilai aqidah itu pada penghayatannya, bukan pada perbahasannya. Semua orang berbicara dalam manhaj yang berbeza-beza, tetapi tetap berkongsi kemanisan yang sama, jika benar tauhid mereka. Bukti berharga paling utama yang menunjukkan aqidah kita benar pada manhaj mereka yang terdahulu (as-salaf as-sholeh) khususnya para sahabat r.a., adalah kita berkongsi penghayatan mereka terhadap aqidah Islam itu sendiri.
Iman itu harganya pada kelazatannya dalam berinteraksi dengan Allah s.w.t. melalui kehidupan. Bagaimana generasi sahabat r.a. khususnya, tidak pernah kenal erti susah dalam menghadapi rintangan kehidupan mereka? Ramai orang kata, kekuatan mereka adalah pada kefahaman mereka tentang dakwah Islam. Ada orang juga kata, kekuatan mereka pada ilmu dan amal mereka. Benar bagai dikata oleh mereka yang berkata-kata. Tetapi bukan sekadar itu wahai saudara-saudara. Kunci utama kekuatan mereka adalah pada penghayatan mereka terhadap aqidah mereka. Kuncinya adalah pada kelazatan tauhid yang mereka kecapi saban hari.
Kelazatan iman mereka membawa mereka kepada mengenal makna hidup yang lebih besar. Ianya adalah cahaya yang terbit dari kerohanian yang bersih dan suci daripada maksiat dan kelalaian. Ianya lahir daripada jiwa yang sentiasa menginsafi diri dan memperbanyakkan taubat bukan sekadar kerana rasa diri berdosa, tetapi kerana takut rasa diri tidak berdosa yang mana itu juga sifat ujub yang tercela. Qudwah mereka adalah Saidina Al-Mustafa wa Habibina Al-Mujtaba Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Mereka melihat bagaimana Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- beristighfar seratus kali setiap hari sedangkan sudah terpelihara daripada dosa. Apa penghayatan Baginda Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- dalam memperbanyakkan taubat? Nah, kelazatan dan penghayatan itu diwarisi oleh para sahabat r.a. secara halus meresap dalam tarbiah Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-.
Kunci utama bagi seseorang mewarisi hal hati (ahwal) dan kebersihan rohani adalah pada kecintaan dalam keimanan. Oleh sebab itulah, Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- menyuruh para sahabat r.a. mencintai Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- lebih daripada diri mereka sendiri dan segala-galanya. Ini kerana, kunci berlakunya proses pewarisan ahwal (hubungan hati seseorang dengan Allah) daripada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- adalah dengan cinta kepada Rasulullah – shollaLlahu ‘alaihi wasallam-.
Jalan untuk mencintai Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- adalah dengan mencintai para pewaris Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- iaitulah para sahabat r.a. dan keluarga Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-, para ulama’ (yang mewarisi ilmu Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-), para solihin (yang mewarisi amalan Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-), para murobbi (yang mewarisi manhaj tarbiah Rasulullah – shollaLlahu ‘alaihi wasallam-) dan sebagainya. Ini adalah kecintaan kerana Allah s.w.t. yang berteraskan kecintaan kepada Rasulullah – shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Inilah antara sebab untuk mendapatkan kelazatan iman.
Penghayatan ini juga dikuatkan dengan mujahadah melawan hawa nafsu dengan meninggalkan terus maksiat dan dosa kita tanpa menoleh kepadanya semula. Antara kuncinya adalah dengan membenci untuk kembali kepada dosa sebagaimana takut untuk dicampak ke dalam neraka. Perasaan takut itu apabila terus meningkat, maka ia akan membawa takut kepada murka Allah s.w.t..
Kemuncak proses mengecapi penghayatan aqidah tauhid dan kelazatan iman adalah dengan menjadikan setinggi-tinggi cinta teragung seseorang adalah ALLAH s.w.t.. Kecintaan kepada Allah s.w.t. ini bukan suatu proses yang mudah semudah mengungkapkannya dengan lisan semata-mata. Betapa ramai manusia yang mudah mengungkap cinta tetapi debu cinta pun tiada di hatinya (Astaghfirullah min ad-dakwa).
Prosesnya adalah dengan mencintai jalan-jalan untuk mencintai Allah s.w.t. iaitulah mencintai para solihin, para murobbi, para ahlul-bait, para sahabat r.a. dan kemuncaknya adalah cinta kepada Rasulullah s.a.w.. Dengan kecintaan kepada Rasulullah shollaLlahu ‘alaihi wasallammelebihi cinta kita kepada segalanya, akan membawa kepada kecintaan kepada Allah s.w.t. dengan bantuanNya.
Cinta kepada Allah s.w.t., memang benar ianya suatu anugerah. Tidak semudah sehingga semua yang mendakwanya, memilikinya. Tidak serendah semua yang membicarakannya, merasainya. Ianya pilihan dalam pilihan. Ianya anugerah dalam hadiah. Ianya kurniaan dalam pemberian. Maka, mintalah cinta kepadaNya hanya daripadaNya.
Dengan mencintai Allah s.w.t., seseorang akan menghadapkan fokusnya hanya kepada Allah s.w.t.. Seluruh jalan cerita dalam kehidupannya adalah ungkapan untuk mendapatkan redha dan cintaNya. Itulah sebenarnya hakikat apabila sudah mulai mencinta. Apa sahaja diredahi demi redha dan cinta. Pandangan redha yang dicinta adalah idaman setiap sang pencinta.
Andai benar kamu mencari redha Allah, mengapa mengeluh ketika diberi ruang untuk mendapatkannya? Bukankah ujian dan dugaan hidup itu ruang untuk mendapatkan redhaNya? Mengapa ketika diberi ruang untuk mendapat redhaNya dalam dugaan yang melanda, dengan sabar dan redha dalam setiap ketentuanNya, namun kamu memilih untuk mengeluh dan mula merasa duka?
Bukankah seseorang yang Allah s.w.t. cinta, makin kuat diuji? Bukankah ujian itu sebenarnya nilai cinta? Mengapa mengelukh ketika dikurniakan simbol cinta? Adakah kerana kita tidak memahami hakikat cinta? Atau kerana memang dalam diri kita tiada cinta kepadaNya? Oleh kerana itulah, hidup kita tidak sunyi dari keluhan terhadap Tuhan dan memberontak bila diberi ujian.
Para pencinta dari kalangan salaf dan khalaf mengenali dan menghayati hakikat cinta. Lalu, setiap hidup mereka dilalui dengan penuh redha sebagai sang hamba. Mereka melihat agungnya “nilai” di sebalik ujian berbanding beratnya ujian. Mereka melihat besarnya “tujuan” mereka dalam redha kepadaNya, iaitulah demi meraih redhaNya, berbanding melihat ketentuanNya dalam kehidupan mereka.
Seseorang yang sentiasa fokus terhadap kebesaran tujuan dan keagungan nilai di sebalik ketentuan, tidak pernah letih untuk menghadapi ketentuan demi ketentuan kerana tahu apa yang dicari di sebalik kesabaran dalam menempuh ketentuan. Bagaimana terungkap di mulut para pencinta: “sedang lautan api sanggup ku redahi demi cinta…”, kalau memang itu bukanlah hakikat sebenar cinta. Itulah hakikat cinta wahai sang pencari cinta.
Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- sangat kagum dengan sikap orang yang beriman yang sentiasa mendapati kebaikan dalam hidup, samada dalam kesenangan mahupun kesusahan. Malah, Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- sendiri sebagai simbol teragung dalam menterjemahkan makna kelapangan hidup, dalam hidup Baginda – shollaLlahu ‘alaihi wasallam-.
Teringat kisah di mana linangan air mata mulia Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- menitis keluar dari kedua mata Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- yang mulia, ketika pemergian anaknda Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- bernama Ibrahim (r.a.). Lalu para sahabat r.a. bertanya tentang titisan air mata tersebut, adakah ianya tanda sedih atau bagaimana. Lalu Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- bersabda: “ini adalah rahmat (kasih sayang)”. Apa makna disebalik itu? Maknanya, hatta menangis itu sendiri dalam penghayatan Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- adalah rahmat daripada Allah s.w.t., bukan suatu kesempitan, apatah lagi segala ketentuan dalam kehidupan Baginda – shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- mengecapi rahmat dan kelembutan Allah s.w.t. dalam setiap ketentuanNya sehingga air mata itu juga dirasakan nikmat daripada rahmat Allah s.w.t.. Ini hakikat penghayatan iman dan taqwa yang mendalam.
Inilah penghayatan aqidah yang murni, yang perlu dirasai oleh setiap orang beriman. Maka, carilah para pembimbing yang dapat membantu kita mewarisi penghayatan ini daripada generasi terdahulu melalui tarbiah dan qudwah. Indahnya hidup dengan melaluinya berbekalkan kelazatan iman dan penghayatan tauhid yang murni. Fokuslah kepada keagungan nilai tujuan, nescaya lapang bagimu setiap jalan menujunya.

Sunday, August 21, 2011

pengajian kitab turath di tv1 RTM


[Jom Menuntut Ilmu]



Saksikan Turath Ulama' - TV1
Kesibukan yang terus menerus, ditambah dengan beberapa aktiviti yang baru, antara faktor blog Khazanah Fathaniyah ini tidak dapat dikemaskini secara seimbang. Untuk perkembangan buku terkini, Khazanah Fathaniyah belum dapat menghasilkan terbitan baru, tetapi InsyaAllah buat masa terdekat ini usaha untuk mengulang cetak kembali buku-buku yang telah kehabisan stok akan cuba dilakukan dengan edisi terbaharu. Segala perkembangan berkaitannya, InsyaAllah akan dimaklumkan semula. 

Selain penerbitan buku, Khazanah Fathaniyah bersama Persatuan PENGKAJI turut aktif menganjurkan pengajian-pengajian kitab Turath yang sebelumnya ini diajar oleh al-Marhum Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah, meliputi pelbagai cabang ilmu dan kitab. Usaha tersebut kini tetap masih diteruskan, dengan menjemput ustaz-ustaz yang mempunyai kepakaran mengajar kitab-kitab turath Melayu berkaitan bidang -bidang ilmu yang tertentu. 

Kesinambungan dari itu, satu kesepakatan telah dicapai antara Khazanah Fathaniyah dan JAKIM untuk memperluaskan lagi dakwah pengajian kitab turath ini melalui saluran media elektronik pula. Hasilnya maka tercetuslah 'TURATH ULAMA', yang akan disiarkan di TV1, bermula hari ini (Selasa), jam 6.30 petang. Berikut adalah perinciannya:


Setiap hari Selasa (6.30 - 7.00 Petang)

Kitab : 
Kitab Faridatul Fara'id 
(Kitab berkaitan Tauhid), karya Syeikh Ahmad al-Fathani.

Penyampai :
Ustaz Azhar Hasyim




Setiap hari Rabu (6.30 - 7.00 Petang)

Kitab :
Kitab Munyatul Mushalli 
(Kitab berkaitan sembahyang), karya Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fathani.

Penyampai :
Ustaz Abdul Halim Saad


Rakaman pengajian ini juga dibuka kepada umum. Sekiranya berminat untuk hadir, boleh menghubungi Abdul Halim  Muhamed (013-3564496) atau pejabat (03-61897231) untuk maklumat lanjut. Kelas pengajian untuk sesi rakaman dilaksanakan setiap hari Ahad, bermula 8 pagi - 11 pagi. Kitab-kitab pengajian disediakan.

Sekian, untuk makluman. Semoga ada manfaatnya:)

Sumber : http://khazanahfathaniyah.blogspot.com/2011/03/turath-ulama-tv1.html

Wednesday, August 3, 2011

SEJARAH HIDUP AL-ARIF BILLAH AS-SYAIKH SOLEH AL-JA'FARI AL-HUSAINI QODDASALLOHUSIRROHU سيدنا الشيخ صالح رضى الله عنه

Pendahuluan

Nama beliau ialah Soleh bin Muhammad bin Soleh bin Muhammad bin Rifai’e yang bersambung keturunannya dengan Saiyidina Jaafar As-Sodiq bin Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Imam Husain bin Saidina Ali bin Abi Talib suami Saidatina Fatimah Az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w.Kelebihan Syeikh Soleh di sini ialah beliau berasal dari keturunan Saidina Husain manakala sanad tariqatnya dari Saidina Hasan, Masya Allah! Nur ‘ala nur!

Bondanya

Selama lapan tahun ayah dan bonda Syeikh Soleh berkahwin namun masih belum dikurniakan cahaya mata. Keluarga bapanya bercadang untuk mengahwinkan ayahanda Syeikh Soleh dengan wanita lain kerana mengandaikan pasangan tersebut tiada rezeki. Dengan perasaan agak dukacita, bonda Syeikh Soleh pergi menziarahi makam Sayyid ‘Abdul ‘Ali bin Ahmad bin Idris (anak kepada Sayyid Ahmad bin Idris,wali qutub dunia, pengasas Tariqat Ahmadiyah Idrisiyah) lalu beliau berdoa dan bernazar, “Jika Allah mengurniakan aku seorang anak pada tahun ini,akan aku berpuasa dan akan aku hadiahkan pahala puasaku kepadamu (wahai Sayyid Abdul Ali) dan akan aku sedekahkan wang pada hari maulidmu kepada orang fakir”.Hajat bondanya tadi dimakbulkan Allah iaitu pada hari Khamis bersamaan 10 Jamadil Akhir tahun 1328 Hijrah, lahirlah bayi lelaki yang diberi nama Soleh di sebuah desa di wilayah Dunqula,Sudan. Keluarganya berasal dari Mesir tetapi berhijrah dan menetap di Sudan.


Datuknya, Syeikh Soleh bin Muhammad

Datuknya, (juga bernama Soleh), Syeikh Soleh bin Muhammad adalah dari kalangan ulama’ Al-Azhar dan menubuhkan kumpulan hafiz Al-Quran dan pengajian di salah sebuah masjid di Dunqula. Perjalanan hidup datuknya ini membawa kesan yang amat mendalam kepada kehidupan Syeikh Soleh dan mewarisi sikap sukakan ilmu,beribadat dan meninggalkan perhiasan dunia yang sementara ini. Beliau banyak belajar ilmu tajwid dan menghafaz Al-Quran dari datuknya dan guru-
guru di sekitar Dunqula.Dalam satu syairnya, beliau melahirkan rasa kasih dengan memuji datuknya serta melahirkan syukur kepada Allah kerana datuknya menamakan “Soleh” iaitu nama datuknya sendiri. Beliau juga mendoakan kesejahteraan datuknya yang banyak mencurahkan bakti kepada masyarakat dengan mengajar masyarakat mengenali Al-Quran.

Ayahnya, Muhammad bin Soleh

Ayahnya, Syeikh Muhammad pula seorang peladang yang bekerja menguruskan ladang di siangnya manakala bangun malam dan beribadat hingga hampir waktu subuh. Beliau pergi ke masjid lebih awal dan membuka pintu masjid,menghidupkan lampu-lampu dan mengimami solat jemaah.Setelah itu,beliau pulang ke rumah untuk mengejutkan keluarga sebelum terbit matahari dan bersiap ke kebun selepas menikmati sedikit juadah sarapan yang disediakan isterinya. Begitulah rutin harian Syeikh Muhammad.

Keturunan Rasulullah

Syeikh Soleh Jaafari telah dikurniakan oleh Allah zuriat dan nasab yang paling mulia iaitu dari Rasulullah s.a.w. Pada permulaannya beliau tidak mengetahui dengan jelas tentang keturunannya ini hinggalah beliau menemui kertas-kertas yang menunjukkan keturunan bapanya dari Saidina Jaafar As-Sodiq.Ia dikuatkan lagi dengan mimpi beliau bersama Rasulullah. Ceritanya dalam sebuah kitab beliau, “Mimpi pertamaku ialah aku melihat Sayidah Zainab binti Saidina Ali. Ketika itu beliau berada di belakang tabir lalu beliau bertanya kepadaku, “Bagaimana keadaanmu dan keluarga Jaafari?”Satu ketika lain, beliau bermimpi melihat Rasulullah s.a.w bersama empat khalifah Ar-Rasyidin yang lain. Cerita Syeikh Soleh lagi: “Aku bersalam dengan Saidina Ali lalu dia memegang tanganku dan aku berkata kepadanya “Aku adalah dari zuriatmu dan bersambung keturunan dengan Jaafar As-Sodiq. Lantas Nabi s.a.w ketika itu menganggukkan kepala sebagai isyarat membenarkan kalimahku. Apabila terjaga dari tidur aku merasakan mimpi aku ini lebih aku sukai dari dunia dan seisinya”.Nisbah “Al-Jaafari” kepada Syeikh Soleh diberikan sendiri oleh Saidina Husain ibn Saidina ‘Ali melalui mimpi yang beliau ceritakan sendiri dalam kitabnya. Kata Syeikh Soleh: “Sebelum pemergian aku menunaikan fardu haji pada tahun 1393H, aku bermimpi dengan Saidina Husain di makamnya, setelah memberikan salam, aku bertanya, “Siapakah diriku ini?” Jawab Saidina Husain, “Jaafari.” Kata Syeikh Soleh lagi, “Kalau begitu, aku ini dari zuriatmu.” Saidina Husain berkata dengan nada suara yang tinggi, “Sam, Ham dan Yafis adalah zuriat Nuh (a.s), aku mengenali mereka dan dia (Nuh) mengenali mereka.” Kata Syeikh Soleh iaitu tentunya Saidina Husain mengenali zuriatnya.


Alam Remaja dan Perkahwinan

Sejak kecil, beliau mendapat didikan langsung dari kedua orang tuanya dan datuknya yang amat kuat berpegang pada agama. Pada usia 14 tahun,beliau telahpun menghafaz Al-Quran di masjid Dunqula yang padanya terdapat makam Sayyid ‘Abdul Ali bin Ahmad bin Idris. Syeikh Soleh sering menziarahi makam Syeikh Abdul ‘Ali bin Ahmad bin Idris di masjid Dunqula.Beliau telah mengambil tariqat Ahmadiyah Idrisiyah pada usia 19 tahun daripada guru murabbinya, Sayyid Muhammad As-Syarif bin Sayyid Abdul Ali bin Ahmad bin Idris (cucu kepada Maulana Sayyid Ahmad bin Idris).
Syeikh Soleh telah mendirikan rumah tangga setelah usia beliau melewati 14 tahun. Ketika berusia 20 tahun, beliau dikurniakan seorang puteri bernama Fathiyah dan putera bernama Abdul Ghani. Syeikh Soleh kemudian telah mengembara menuntut ilmu hingga ke Universiti Al-Azhar. Kedua-dua cahaya matanya dipelihara oleh datuk dan nenda mereka di Dunqula.


Pengajian di Al-Azhar 

Syeikh Soleh telah menuntut dari ramai para syeikh ketika tempoh pengajian di Al-Azhar. Antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim As-Samaluti. Setelah beberapa bulan mengaji, Syeikh Soleh merasa amat kecewa dan dukacita dengan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang berleluasa dan suasana hidup bandar yang amat berbeza dengan kehidupannya di kampung. Lalu terdetik dihatinya untuk pulang ke kampung sahaja bagi mengelak maksiat di depan mata.
Pada satu hari, Syeikh Muhammad Ibrahim As-Samaluti telah membincangkan masalah ini dengan Syeikh Soleh sambil berkata: "Jangan kamu sangka para wali itu hidup dalam khalwat (lari dari masyarakat)sahaja. Tapi wali yang sebenar ialah mereka yang hidup 'dalam kala jengking tapi ia tidak mampu menyengat kamu'. Duduklah di sini (bandar) dan bermujahadahlah".


Kesusahan

Syeikh Soleh Jaafari juga banyak melalui kesusahan sepanjang tempoh pengajiannya di Al-Azhar. Beliau hidup berbekalkan duit perbelanjaan yang dikirim oleh ayahnya sebanyak 10 pound (junaih) sebulan. Beliau pernah tidak makan beberapa hari kerana kehabisan wang. Syeikh bercerita: “Acapkali aku tidur dalam keadaan lapar bahkan pernah 4 hari aku tidak makan apa-apa. Hingga satu malam,kerana terlalu lapar beliau menangis lalu terlelap. Dalam mimpinya,beliau bermimpi menemui Sayyid Ahmad Badawi (seorang wali Qutub, keturunan Rasulullah yang makamnya berada di Tanta) dalam keadaan mukanya tertutup kemudiannya dia membuka wajahnya dan aku dapati wajahnya berseri-seri seperti bulan purnama. Lalu dia bertanya "Hai Soleh, kenapa kau menangis?". Aku jawab "Kerana terlalu lapar". Lalu Sayyid Ahmad Badawi berdoa, "Semoga Allah luaskan rezeki untuk kamu tapi pesanku jangan kamu lupa nasib saudara-saudara mu yang lain".

Gurunya

Antara guru Syeikh Soleh ialah:
Syeikh Muhammad Bakhit Al-Mut’ie (usianya mencecah 103 tahun)
Syeikh Habibullah As-Syanqiti
Syeikh ‘Allamah Yusof Ad-Dijwi ('alim tafsir dan hadith,merupakan anggota Jemaah Ulama' Al-Azhar)
Syeikh Ali As-Syaib
Syeikh Hasan Madzkur
Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf Al-’Adawi (bekas Mufti Mesir)
Syeikh Muhammad Al-Halab
Syeikh Abdul Khaliq As-Syubrawi
Sayyid Ahmad As-Syarif Al-Ghumari (ulama' Maghribi)


Tamat Pengajian

Setelah menimba ilmu di Al-Azhar hingga mendapat sijil "Alamiyah Al-'Aliyah" yang setaraf dengan Phd. zaman ini,beliau pulang ke kampungnya di Dunqula. Keluarganya amat bergembira dengan kepulangan Syeikh Soleh.
Beliau tinggal bersama keluarganya selama 3 bulan hingga satu malam beliau bermimpi Sayyidah Sukainah dan Zainab (kedua-duanya Ahli Bait Rasulullah). Mereka berdua berkata, "Sesungguhnya Soleh telah meninggalkan kami dan sibuk dengan isteri dan anak-anaknya di kampung." Apabila terjaga dari tidur, Syeikh Soleh terus bergegas ke Kaherah.


Imam Masjid Al-Azhar

Syeikh Soleh telah dilantik sebagai Imam dan Khatib di Masjid Al-Azhar. Sepanjang bertugas sebagai imam, beliau telah banyak mewakafkan diri dalam bidang dakwah dengan menyampaikan ilmunya kepada masyarakat.
Beliau juga masyhur dengan 'syeikh pengajian Jumaat' kerana selepas solat Jumaat beliau akan mengadakan pengajian tafsir dan hadith di Masjid Al-Azhar bermula lepas solat Jumaat hingga masuk waktu Asar. Semasa bertugas sebagai imam, beliau menghantar wang sebanyak 50 sen kepada bondanya di kampung hasil pendapatannya sebanyak 3.75 sen sebulan (kadar gaji ketika tahun 40-an).


Sanad Tariqat

Tariqat ialah jalan bagi mendekatkan diri seorang hamba dengan Allah melalui jalan yang jelas iaitu berguru. Syarat utama sebelum seseorang mengangkat janji (bai’ah) dengan syeikhnya ialah ikhlas,melazimi wirid dan bermujahadah. Seseorang yang merasakan dirinya lemah pasti memerlukan bimbingan dalam hidupnya. Sebagai contoh seseorang yang rasa dirinya tidak mahir komputer, pasti dia akan mencari seorang yang pakar dalam bidang tersebut mengajar hingga dia mahir dalam bidang tersebut.
Begitu juga bab kerohanian dan hati. Syeikh memimpin tariqat dipanggil “syeikh murabbi” manakala yang dipimpin dipanggil “murid”. Sebaik-baik syeikh yang bergelar murabbi ialah yang mengikuti Rasulullah s.a.w sama ada cara berpakaian, bercakap, makan, minum. Semuanya mengikuti Rasulullah s.a.w kerana syeikh itu sebagai pembimbing. Tentunya ramai anak muridnya memerhatikan pergerakan syeikh.
Syeikh Soleh telah membai’ah dengan gurunya di Sudan iaitu Syeikh Sayyidi ‘Abdul ‘Ali, Syeikh Soleh menyebut sanad tariqatnya: “Telah mengijazahkan kepada aku guruku yang juga murabbiku Sayyid Muhammad Abdul ‘Ali dari ayahnya Sayyidi Abdul ‘Ali dari gurunya ‘Allamah Sayyid Muhammad bin ‘Ali As-Sanusi dari gurunya Sayyid Ahmad bin Idris.”

Pengasas Tariqat Jaafariyyah

Diceritakan sewaktu Syeikh Abdul Ghani berada di Sudan, beliau menulis surat kepada Syeikh Soleh,ayahnya. Beliau menulis : “Bismillahirrahmanirrahim..Kepada Syeikh Soleh Jaafari, syeikh bagi Tariqat Jaafariyah….” Beliau mengirim surat itu kepada salah seorang kawannya yang ingin bermusafir ke Kaherah. Kata Syeikh Abdul Ghani, “Bila Syeikh Soleh baca suratku ini, kau perhatikan wajahnya.” Bila Syeikh Soleh baca surat dari anaknya Syeikh Abdul Ghani menyatakan dia sebagai “SYEIKH TARIQAT JAAFARIYAH” Syeikh Soleh tersenyum. Lelaki tadi yang melihat Syeikh Soleh tersenyum, memberitahu Syeikh Abdul Ghani bahawa ayahnya tersenyum bila membaca surat itu. Tahulah Syeikh Abdul Ghani bahawa ayahnya meredainya.
Selepas kewafatan Syeikh Soleh, seorang anak muridnya menemui surat wasiat Syeikh Soleh yang mengizinkan tariqatnya diberi nama Tariqat Jaafariyah Al-Ahmadiyah Al-Muhammadiyah. Al-Jaafariyah (dinisbahkan kepada beliau), Al-Ahmadiyah (nisbah kepada Sayyidi Ahmad Idris) manakala Muhammadiyah (nisbah kepada Nabi Muhammad s.a.w). Asas kepada tariqat ini ialah Al-Quran,hadith dan memuji nabi (madaih nabawi). Sebenarnya Tariqat Jaafariyah yang dibawa oleh Syeikh Soleh lahir, membesar dan dewasa dalam Masjid Al-Azhar.

Hubungan Akrab Dengan Al-Azhar

Hubungan beliau dengan Al-Azhar amatlah kuat dan dapat dilihat sewaktu hayatnya. Syeikh Soleh tidak keluar dari Masjid Al-Azhar selama lebih 50 tahun kecuali bagi menunaikan haji serta menziarahi ahli Bait Rasulullah s.a.w. Menurut cerita, tempat beliau berkhalwat di Masjid Al-Azhar ketika itu, pernah menjadi tempat khalwat bagi Sayyidi Ahmad Zaruq, seorang ahli sufi masyhur. Selepas kewafatan beliau, bilik tersebut dikunci dan tidak digunakan hingga apabila kedatangan Syeikh Soleh ke Al-Azhar 500 tahun kemudian. Ketinggian ilmu dan amal yang ada pada Syeikh Soleh Jaafari tiada siapa mampu pertikai lagi. Kebanyakan ulamak Al-Azhar mengiktiraf kealiman Syeikh Soleh termasuk Dr. Abdul Halim Mahmud, Syeikh Al-Azhar ketika itu.

Dr.Abdul Halim Mahmud seorang ahli tasawuf yang 'alim,tawaduk dan zuhud yang bertariqat Syazuliyyah.
Dr. Abdul Halim Mahmud telah menggelarkan Syeikh Soleh dengan "Kiblat Ilmu" kerana ketinggian ilmu Syeikh Soleh dan sebagai balasannya Syeikh Soleh menggelarkan Al-Azhar di bawah pentadbiran Dr.Abdul Halim ketika itu sebagai "Kaabah Ilmu".
Pesan beliau, "Al-Quran dan Hadis adalah dua mukjizat agung. Menjadi kewajipan Al-Azhar memelihara mukjizat tersebut". Kata Syeikh Soleh: “Al-Azhar diambil nama dari anakanda tersayang Rasulullah s.a.w iaitu Fatimah Az-Zahra’. Yang memelihara Al-Azhar iaitu Rasulullah s.a.w sendiri.”



Kitab Susunan dan Tulisannya


Sejarah Diwan Jaafari:

Syeikh Soleh telah mengarang qasidah hingga dibukukan menjadi 12 jilid. Salah seorang anak murid beliau, Haji Abdul Rauf memberitahu, selepas kewafatan Syeikh Soleh, salah seorang anak murid Syeikh Soleh bermimpi bertemu Syeikh Soleh, lalu syeikh berkata kepadanya “Buka peti ini!” sambil mengisyaratkan jari telunjuknya kepada satu peti. Keesokannya, anak muridnya memberitahu Syeikh Abdul Ghani keadaan mimpinya, lalu setelah dibuka peti tadi didapati terdapat helaian kertas yang tertulis syair dan qasidah yang ditulis syeikh sewaktu hayatnya. Syeikh Abdul Ghani memerintahkan supaya dibuku dan dicetak semua helaian syairnya. Hingga kini, qasidah karangan Syeikh Soleh masih dibaca setiap kali diadakan hadrah.

Pembukuan ‘Durus Jumaah’

Di Maktabah Jawami’ul Kalim juga terdapat 10 jilid buku pengajian Syeikh Soleh sewaktu menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar setiap Jumaat. Penulisan pengajian tersebut ditulis oleh anak murid beliau dan dibukukan hari ini.
Selain itu, antara kitab Syeikh Soleh yang lain antaranya:
Risalah Fil-Haj (menerangkan tentang Haji dan Umrah)
Fataha Wa Faidha Wa Fadhlum mina Allah fi Syarhi Kalimah Lailahaillah Muhammadur Rasulullah
Syarah Matan Al-Ajrumiah (Nahu)


Keramat

Keramat paling besar kepada Syeikh Soleh ialah anak-anak muridnya yang kini berada di serata Mesir bahkan dunia. Tariqatnya juga kini tersebar luas di seluruh dunia terutama di Mesir hingga masjid serta markaznya terdapat di mana-mana. Paling menarik, setiap masjid dan markaznya akan dipelbagaikan aktiviti. Masjid tidak sebagai tempat solat sahaja. Bahkan masjidnya juga terdapat hospital, kelas tahfiz, maktabah, tempat penginapan dan muassasah bagi jemaah haji.
Satu masa,diceritakan daripada seorang ulama' Al-Azhar bernama Syeikh Tahir Al-Kharashi bahawa gurunya pergi menunaikan haji tahun 1954.Ketika beliau menziarahi makam Rasulullah di Madinah,beliau bersandar di salah satu tiang dalam masjid Nabawi lalu terlena. Dalam tidur itu beliau bermimpi bertemu dengan Rasulullah lalu Baginda bersabda "Apabila kamu ke Mesir nanti, sampaikan salamku kepada Soleh Jaafari". Pada masa itu, guru Syeikh Tahir itu tidak mengenali lagi siapa dia Syeikh Soleh Jaafari. Setibanya di bumi Mesir,guru Syeikh Tahir itu mencari di mana Syeikh Soleh lalu ditemui dan beliau menceritakan kepada Syeikh Soleh apa yang dimimpinya.Syeikh Soleh pun menangis apabila mendengar Rasulullah memberi salam kepadanya.
Satu ketika sewaktu menyampaikan pengajian Jumaatnya, seorang lelaki bertanya kepada Syeikh Soleh, “Wahai syeikh! Bolehkah Nabi Khaidir (a.s) menyerupai sifat seorang lelaki atau ia bersifat dengan sifat-sifat tertentu?” Belum sempat syeikh menjawab, datang seorang lelaki. Nampak padanya seorang yang mempunyai hajat maka syeikh mendahulukannya. Setelah lelaki tadi beredar, syeikh berpaling kepada orang yang bertanya soalan tadi lalu bertanya, “Apakah yang kamu tanya tadi?” Lalu lelaki tadi mengulangi soalan dan jawab syeikh, “Lelaki yang bertanya aku selepas kau tadi itu ialah Nabi Khaidir (a.s).” Terkejut dengan jawapan syeikh, lelaki tadi mencari-cari kiri dan kanan akan tapi tidak menemuinya!
Syeikh Nabil pernah menceritakan salah seorang anak murid Syeikh Soleh berhadas besar tapi terlupa untuk mandi wajib. Kisah ini berlaku selepas kewafatan Syeikh Soleh. Malamnya lelaki tadi bermimpi bertemu Syeikh Soleh memegang satu timba air. Lalu Syeikh Soleh menjiruskan air tadi kepada lelaki tadi. Bila tersedar dari mimpi tahulah bahawa dia belum mengangkat hadas besarnya.

Dr.Atiyah, imam Masjid Syeikh Soleh Jaafari di Darrasah pernah menceritakan bahawa Syeikh Soleh Jaafari bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w. Di sebelah kanan Baginda s.a.w ialah Saidina Abu Bakar, Umar dan beberapa sahabat yang lain (r.anhum). Di sebelah kiri Baginda s.a.w pula terdapat seorang yang beliau tidak kenali. Syeikh Soleh bersalam dan mencium tangan Rasulullah s.a.w dan kesemua sahabat di sebelah kanan Baginda tapi tidak bersalam dengan lelaki di sebelah kiri itu kerana tidak dikenalinya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Wahai Soleh! Kamu tidak mengenali lelaki ini?” Jawab Syeikh Soleh “Tidak,” “Inilah dia Busairi (Imam Busairi),” Ini bagi menunjukkan kelebihan mereka yang suka memuji Rasulullah s.a.w sesungguhnya fadhilatnya amatlah besar di sisi Allah dan Rasulullah s.a.w.

Syeikh Soleh dikurniakan menunaikan fardhu haji serta menziarahi datuknya, Rasulullah s.a.w di Madinah sebanyak 27 kali sewaktu hayatnya.


Keramatnya Dengan Saidina Husain ibn Saidina ‘Ali

Hubungan rohani beliau dengan datuknya Saidina Husain amatlah kuat. Beliau pernah menyebut, “Jika tidak kerana adanya Saidina Husain, aku tidak akan menetap di Mesir walau sedetik waktu.”
Seorang anak murid Syeikh Soleh bernama Haji ‘Aid telah berkahwin beberapa tahun tapi belum dikurniakan zuriat, beliau bertemu Syeikh Soleh menyatakan hasratnya untuk menimang cahaya mata. Syeikh Soleh berkata, “Sekarang kau pergi kepada Saidina Husain, cakap kepadanya seperti apa yang kamu beritahu aku tadi.” Lalu beliau pergi di sisi makam Saidina Husain dan menyebut seperti yang diberitahu kepada Syeikh Soleh tadi. Alhamdulillah, tidak berapa lama Allah kurniakan kepada zuriat.
Satu kisah, setelah sempurna Syeikh Soleh mengarang sebuah burdah, akan tetapi burdah tersebut hanya memuji Saidina Husain sahaja. Maka datang Saidina Husain dalam mimpinya dalam keadaan yang marah lalu berkata, “Kamu memuji aku dan meninggalkan abangku, Hasan?” Lalu Syeikh Soleh menyambung lagi burdahnya memuji kedua-dua cucu Rasulullah s.a.w. dan menamakan burdah itu “Burdah Al-Hasaniyah Wal Husainiyyah” (burdah yang dinisbah kepada Hasan dan Husain.)
Terdapat risalah yang diedar di Aswan bertajuk “Keramat Syeikh Soleh Jaafari Dengan Saidina Husain bin Saidina ‘Ali”. Risalah ini memuatkan terdapat 65 kisah keramat Syeikh Soleh dengan datuknya itu iaitu Saidina Husain.
Syeikh Soleh menceritakan lagi, satu hari beliau bersarapan bersama anak-anak muridnya yang membawa ikan perkasam dan bawang. Selepas bersarapan, Syeikh Soleh pergi menziarahi Saidina Husain dan duduk di barisan pertama di hadapan makam. Tidak lama kemudian beliau terlelap. Dalam mimpi itu, datang Rasulullah s.a.w kepadanya dan berkata, “Kamu makan seperti ini (iaitu bawang dan ikan perkasam) dan kamu datang kepada Husain?” Sejak itu, beliau tidak lagi makan bawang dan ikan perkasam. Jika makan pun, beliau tidak akan terus menziarahi Saidina Husain. Kata Syeikh Soleh, “Itulah tarbiyah Nabi Muhammad s.a.w kepadaku.”
Syeikh Soleh pernah berkata, “Sesiapa (iaitu yang berada di Mesir) yang merindui Rasulullah s.a.w maka ziarahlah Saidina Husain, sesiapa yang rohnya merindui Sayyidah Fatimah Az-Zahra’ binti Rasulullah, maka ziarahlah Sayyidah Zainab.”


Kewafatan

Setelah sekian lama berkhidmat dan mencurahkan ilmu di jalan Allah, Syeikh Soleh telah dijemput mengadap Allah pada petang Isnin, 18 Jamadil Awal tahun 1399 hijrah (sekitar tahun 1979 masihi) ketika berusia 71 tahun. Jasad beliau telah dikebumikan di masjid yang dibina sebelum kewafatannya di Hayyul Khailidin, Darrasah, Kaherah. Jenazah beliau dise mbahyangkan di Masjid Al-Azhar.
Antara anak murid beliau ialah Al-Marhum Sayyid Muhammad 'Alawi Al-Maliki Al-Hasani, seorang 'alim dari Mekah yang berketurunan Rasulullah dari cucu Baginda Saidina Hasan bin Imam Ali. Semoga Allah meredhai Syeikh Soleh Jaafari dengan keredhaan dan kerahmatan-Nya serta membalas segala kerja baik beliau dengan sebaik-baik balasan.


Tariqat Jaafariyah Pasca- Syeikh Soleh

Menurut cerita dari Haji Abu Bakar, seorang anak murid beliau, pada permulaan pengajian di Masjid Al-Azhar, Syeikh Soleh tidak akan mengijazahkan tariqatnya kepada seseorang yang masih belajar, jika sudah tamat pengajian, tidak akan diberikan tariqat kecuali setelah berkahwin. Namun syarat ini tidak lagi digunapakai di akhir hayatnya hingga kini. Tariqat ini terus berkembang di bawah pentadbiran putera serta pewaris Syeikh Soleh, Syeikh Abdul Ghani. Beliau menggunakan gelaran “Syeikh Umum Tariqat”. Seorang anak murid Syeikh Soleh memberitahu, Syeikh Abdul Ghani dipilih atas arahan dari Rasulullah s.a.w kepada Syeikh Soleh. Lalu, di akhir hayat Syeikh Soleh, Syeikh Abdul Ghani telah diangkat sebagai bakal pengganti Syeikh Soleh yang berlangsung di tanah suci Mekah. (Berdasarkan qasidah karangan Syeikh Abdul Ghani).
Syeikh Abdul Ghani banyak menghabiskan masa bersama datuk dan keluarganya di Sudan. Ini kerana Syeikh Soleh meninggalkan Syeikh Abdul Ghani bersama keluarganya ketika beliau berhijrah ke Mesir untuk bertugas sebagai tenaga pengajar di Al-Azhar. Ketika berusia 10 tahun, Syeikh Abdul Ghani mengambil tariqat dari ayahnya, Syeikh Soleh. Seawal usia 14 tahun, Syeikh Abdul Ghani telah mengarang qasidah Hijrah yang masyhur yang dibaca hingga hari ini setiap kali menjelang sambutan Awal Hijrah.
Selepas wafat Syeikh Soleh tahun 1979, langkah pertama yang diambil Syeikh Abdul Ghani ialah mendaftarkan Tariqat Jaafariyah di bawah Majlis ‘Ala Sufi Mesir (Majlis Tertinggi Tariqat Kesufian Mesir). Di zaman Syeikh Abdul Ghani lah, berkembangnya tariqat ini terutama di Mesir. Boleh dikatakan setiap muhafazah terdapat markaz Tariqat Jaafariyah. Di muhafazah Aswan sahaja terdapat hampir 20 buah markaz selain di muhafazah lain seperti Iskandariah, Helwan, Bani Suwef, Asyut, Isna, Mahalah Kubro, Qalyubiyyah, Manufiyah, Luxor dan Qina. Di Kaherah, antara markaz tariqat Jaafariyah ialah di Al-Amiriyyah, Darul Salam, Jabal Asfar. Masjid di Darrasah, Kaherah sekarang ini pula beroperasi sebagai Markaz Induk bagi Tariqat Jaafariyah.
Kini, Syeikh Abdul Ghani dalam keadaan uzur dalam usianya mencecah lebih 70 tahun. Sebelum ini, beliau sering kelihatan solat jemaah di masjidnya di Darrasah. Sesiapa yang ingin bertemunya boleh bertemunya setiap kali solat lima waktu tanpa perlu membuat temujanji terlebih dahulu. Namun, sejak tahun lalu, doktor menasihati beliau tidak boleh banyak bergerak akibat sakit yang dialami. Beliau hanya keluar ketika majlis hadrah (hari Ahad dan Khamis selepas maghrib) dan solat Jumaat sahaja.
Tiga orang anak lelakinya banyak mengambil alih urusannya, iaitu anak sulungnya bernama Sayyidi Muhammad Soleh, kedua bernama Sayyidi Husain dan ketiga bernama Sayyidi Hasan. Sayyidi Muhammad dipilih sebagai Timbalan Ketua Umum tariqat (Naib ‘umum al-Tariqah) manakala Sayyidi Husain sebagai ketua pemuda (Raid syabab)
Kelebihan tariqat ini juga berjaya melebarkan sayap kekuatan ekonominya. Penubuhan Maktabah Jawami’ul Kalim di Jalan Jaafari, Darrasah diilhamkan oleh Syeikh Abdul Ghani awal tahun 1980. Begitu juga kedai roti di sebelah masjid sekarang ini yang dimiliki oleh Sayyidi Husain.


Sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari

Hingga kini, Tariqat Jaafariyah telah berkembang dan mempunyai markaz di Libya, Sudan, Kuwait dan Malaysia. Bahkan terbaru ramai di kalangan warga Nigeria, Jordan dan Thailand mengambil tariqat dari Syeikh Abdul Ghani.
Sambutan maulid Syeikh Soleh terbahagi dua peringkat iaitu pertama:
Peringkat markaz masing-masing.
Peringkat Umum (dunia).

Setiap tahun akan diadakan majlis maulid di markaz masing-masing. Ia menjadi aktiviti tahunan dalam kalendar markaz masing-masing. Ini termasuk di muhafazah Aswan, yang akan diadakan pada musim cuti fasa 1. Sambutan maulid bagi peringkat markaz Aswan diadakan selama lima hari. Ia biasanya bermula Hari Ahad dan berakhir pada Hari Khamis. Pada malam penutup (Khamis), ia akan berlangsung di markaz besar Tariqat Jaafariyah bagi Aswan iaitu Hayyul ‘Aqad, Bandar Aswan.

Satu lagi sambutan maulid Syeikh Soleh peringkat seluruh dunia. Ia hanya diadakan sekali setahun iaitu minggu pertama dalam bulan Rejab setiap tahun bertempat di markaz induk tariqat di Darrasah. Sambutan juga selama 5 hari bermula hari Ahad dan berakhir Khamis bulan Rejab.

Aktiviti Tariqat Jaafariyah

Maktabah Turath Al-Jaafari- Menjual kaset,CD dan gambar sewaktu hayat Syeikh Soleh Jaafari. Terdapat sewaktu hadrah Ahad dan Khamis serta lepas solat Jumaat di Masjid Syeikh Soleh.
Maktabah Jawami’ul Kalim- Mencetak dan mengedar kitab-kitab sufi termasuk karangan ulamak Saudi seperti Al-Marhum Sayyid Muhammad ‘Alawi.
Muassasah Haji- Mengurus dan menganjurkan untuk ibadat haji, umrah dan ziarah.
Menyertai perarakan (masirah) anjuran Majlis ‘Ala Sufi Mesir untuk sambutan Maulidur Rasul, Awal Hijrah dan awal Ramadhan. (Majlis ‘Ala Sufi menganjurkan masirah 3 kali setahun).
Menyertai sambutan Maulid Ahli Bait Rasulullah s.a.w di Mesir.
Menganjurkan ziarah makam para wali dan ahli Bait Rasulullah s.a.w sekitar Kaherah pada hari raya kedua bagi kedua-dua Hari Raya Islam. (Aidiladha dan Aidilfitri).
Menganjurkan sambutan Maulid Syeikh Soleh bagi peringkat markaz masing-masing setelah persetujuan Syeikh Abdul Ghani.
Sambutan Maulid Syeikh Soleh peringkat umum di markaz induk di Darrasah pada minggu pertama dalam bulan Rejab setiap tahun.


***************************************
Sumber rujukan:

 Kitab-kitab karangan Syeikh Soleh Jaafari
Qasidah karangan Syeikh Soleh dan Syeikh Abdul Ghani.
Risalah “Keramat Syeikh Soleh bersama Saidina Husain” oleh markaz Jabal Taquq, Aswan.
Mengenali Para Wali Allah Di Mesir .
Dinukil dari anak-anak murid Syeikh Soleh yang masih hidup: Haji Faruq,Haji ‘Aid, Haji Abdul Rauf, Haji Abu Bakr, Haji Sayid Musa, Haji Abul ‘Ila’.